April 15, 2009

TAHNIAH ! RS DAN DAKWAH DIGITAL

Salam
Tahniah diucapkan kepada Raudhatus Sakinah Kelantan (RSK) khusus kepada Dr Zaharah selaku pengerusi dan Pn Ilham selaku pengurus RSK yang telah memulakan lembaran baru bagi RSK untuk melangkah ke era baru dakwah digital.
Pengalaman kita mengendalikan rumah perlindungan dan bimbingan seperti RSK memberikan keinsafan kepada kita bahawa disamping usaha preskriptif atau pengubatan seperti bimbingan dan pemulihan remaja mestilah seiring malah digandakan usaha preventatif/pencegahan berbentuk program pendidikan. Sehubungan dengan ini RSK keluar kepada masyarakat dan menawarkan program berbentuk pencegahan. Antara program yang disediakan adalah
  1. Program mencetuskan kesedaran seperti Kempen Anda Bijak Jauhi Zina yang merupakan program separuh hari bertujuan memberikan kesedaran kepada remaja tentang kesihatan reproduksi mereka dan kepentingan mengurus perubahan transisi remaja dan menjauhi gejala yang tidak sihat termasuk menjauhi zina. Kami mengalu-alukan kerjasama dari semua sekolah, persatuan penduduk, masjid,badan kerajaan dan bukan kerajaan untuk bekerjasama dengan kami menganjurkan kempen ini. Sejak ia dilancarkan pada tahun 2006, banyak sekolah , kolej dan IPT serta persatuan yang telah bersama kami menganjurkan program ini
  2. Modul Kesihatan Reproduksi Remaja (MKRR) - Modul ini dibangunkan oleh Raudhatus Sakinah Pusat untuk memberikan latihan yang lebih mendalam kepada remaja agar mereka dapat mengharungi cabaran kehidupan remaja dengan penuh kemahiran. Melalui modul-modul latihan yang boleh dipilih , program boleh disesuaikan kepada kumpulan sasaran yang berkenaan.
  3. Program Kemahiran Keibubapaan Efektif . Kita mendapati antara faktor yang penting dalam pembinaan remaja adalah dengan memberikan kesedaran dan kemahiran keibubapaan kepada ibubapa remaja. Beberapa modul telah kami bangunkan untuk memenuhi semua peringkat umur anak-anak kita.

RSK berazam untuk menyumbang dalam pembinaan generasi remaja yang mempunyai jatidiri ummah cemerlang melalui pembinaan iman dan taqwa kepada Allah Tuhan pencipta manusia itu sendiri. Hanya apabila terbentuknya masyarakat yang ibubapanya beriman dan anak-anak mereka terdidik dengan jatidiri muslim yang sejati barulah masyarakat dapat hidup aman sejahtera tanpa gejala sosial yang bobrok dan membelenggu mereka.

Wassalam

Dr Hafidzah Mustakim

JK Pendidikan RSK

Tiada ulasan:

Catat Ulasan