Ogos 31, 2011

SYAWAL 1432 H DI RAUDHATUS SAKINAH KELANTAN







Alhamdulillah 1 Syawal 1342H disambut dengan penuh kesyukuran oleh penghuni Raudhatus Sakinah Kelantan. Seawal jam 4.30 pagi adik-adik pelatih telah bangun melakukan amalan solat malam bertahajud memohon keampunan dan keredhaan Allah yang Esa. Semoga amalan yang kita telah latih selama sebulan di bulan Ramadhan yang barakah dapat menjadi kelaziman kepada pelatih di sini. Setelah bangun solat maka bermulalah persiapan menyambut syawal. Amalan menyambut syawal sebagaimana yang disyariatkan Allah dan RasulNYa cuba diamalkan oleh pelatih di sini. Ini termasuklah mandi sunat Syawal, membanyakkan tasbih dan tahmid memuji-muji kebesaran dan kekuasaan Allah , menjamah makanan sebelum solat sunat Eidul fitri, solat sunat eidul fitri dan bermaaf-maafan antara satu sama lain.

Majlis Solat Eidul Fitri disempurnakan bersama keluarga HJ Che Rahimi Samat dan Dr Hafidzah Mustakim. Mereka berdua merupakan Ahli Jawatankuasa Pengurusan RS Kelantan yang bertanggungjawab menjaga bahagian Latihan dan Pencegahan. Bersama lapan anak-anak mereka Rumah RS meriah menyambut syawal ini. Pembantu Warden Sdri Nija dan adik2 pelatih RS menyambut kehadiran mereka. Majlis solat diawali dengan bacaan takbir berulangkali yang dialunkan penuh syahdu tetapi bersemangat bersama pelatih RS. Sesuai dengan makna takbir yang memuji kebesaran Allah dan meyatakan izzah dan ketinggian diri muslim walaupun orang kafir membenci.

Seterusnya taklimat solat dilakukan oleh Hj Che Rahimi. Ini diikuti oleh Solat Eidul Fitri yang diimamkan oleh Sdra Muhammad Naim b Che Rahimi yang kini menuntut di Kolej Mara Banting. Selesai solat Khutbah Eidul Fitri disampaikan oleh Hj Che Rahimi. Antara lain beliau mengingatkan akan kepentingan kita berbalik kepada fitrah kita yang asal iaitu fitrah semulajadi manusia yang mahu tunduk kepada iman dan percaya kepada Allah SWT dan kerelaan untuk mengikuti ajaranNya sebagaimana yang ditunjukkan oleh Rasulullah SAW. Jemaah solat diseru untuk mengambil kesempatan dan peluang berada di RaudhatusSakinah untuk memperbaiki diri dan tidak mengulangi kesilapan lampau. Sesungguhnya ganjaran yang disediakan oleh Allah untuk hamba-hambaNya yang bertaubat dan berbuat baik adalah syurga yang lebih luas dari langit dan bumi.

Selesai solat majlis diteruskan dengan majlis bermaaf-maafan . Hj Che Rahimi dan Dr Hafidzah bertindak selaku ibu dan ayah untuk para pelatih dan mereka bergilir-gilir bersalaman memohon kemaafan atas kesilapan mereka . Rata-rata semua pelatih dengan penuh sebak menyatakan kesediaan mereka untuk bertaubat dan berubah demi masa depan yang lebih baik. Hj Che Rahimi juga menyampaikan duit raya kepada setiap pelatih.

Akhirnya majlis disempurnakan dengan jamuan hari raya . Walaupun penuh sederhana majlis eidul fitri disambut meriah penuh kesyukuran oleh Warga RS Kelantan. Sebelum tetamu pagi syawal beredar kelihatan ada ibubapa pelatih telah tiba bersama juadah raya untuk dinikmati bersama anak mereka. Hmmm…memang tidak boleh dinafikan kasih ibubapa dan bapa yang sanggup berkorban apa sahaja untuk anak mereka…..Marilah sama-sama kita doakan agar pelatih RS di sini dapat istiqamah dan tetap dalam usaha perubahan mencari kebenaran mereka.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan